Monday, July 13, 2009

MIcheal Mati dibunuh?

LOS ANGELES: Kakak Michael Jackson, La Toya mendakwa Raja Pop itu dibunuh kerana ada pihak ingin merebut hartanya yang bernilai RM5.8 bilion.

Lebih mengejutkan La Toya (gambar) mendakwa tahu siapa yang melakukannya.

La Toya, 53, mendedahkan beberapa rahsia baru mengenai kematian mengejut adiknya, dadah yang ditemui dalam tubuhnya dan juga wang tunai dan barangan kemas bernilai RM7.6 juta yang kini hilang.

“Michael dibunuh dan kami percaya ia dilakukan oleh satu kumpulan yang berkonspirasi untuk merebut kekayaannya yang bernilai RM5.8 bilion. Hakikatnya, Michael lebih berharga selepas mati daripada hidup.





“Saya tahu siapa yang melakukannya dan saya tidak akan berhenti selagi mereka belum dihukum,” katanya.

Pendedahan itu dibuat dua hari selepas Ketua Polis Los Angeles mengaku siasatan kini dilakukan terhadap kebarangkalian Michael dibunuh.

La Toya turut mendakwa Michael sengaja dibiarkan ketagih ubat-ubat tertentu bagi memudahkan beliau dikawal.

Keluarganya turut didakwa La Toya tidak dibenarkan melawatnya.

Selain itu, beliau sengaja dibiar keletihan akibat berlatih bagi mempersiapkan dirinya menjelang 50 konsert di London 02 yang dijadual bermula esok.

Yang pasti, La Toya kini sudah mengetahui keputusan ujian toksik dalam tubuh Michael yang dilakukan keluarganya.

Bagaimanapun beliau enggan mengumumkannya kerana keputusan ujian pakar bedah hanya akan diumum dua minggu lagi.

“Saya yakin semua orang akan terkejut apabila keputusan ujian diumum.

“Saya tak boleh mendedahkan sebarang maklumat kerana polis masih melakukan siasatan tapi saya boleh sahkan dakwaan tubuh Michael mengandungi metadon tidak tepat.

“Terdapat juga kesan jarum di leher dan lengannya dan banyak lagi maklumat lain yang akan didedahkan.

“Namun, tiada apa yang akan merubah tanggapan saya Michael dibunuh dan saya pasti berusaha habis-habisan untuk mengetahui punca kematiannya.

“Dua tahun lalu, Michael pernah menyuarakan kebimbangannya dan mendakwa ada pihak yang akan membunuhnya demi memperoleh hakcipta lagu-lagunya.

“Michael berkata mereka mahukan katalog lagunya dan sejak itu saya tahu, satu hari nanti pasti ada sesuatu perkara buruk yang akan menimpa Michael dan ia menjadi kenyataan,” kata La Toya lagi.

Selain itu, La Toya menegaskan, Michael dilayan dengan buruk oleh sesetengah orang yang sengaja menyebabkan beliau ketagihan ubat-ubatan.

“Saya tak boleh tuduh sesiapa pada masa ini tapi tidak semua yang berada di sampingnya memikirkan yang terbaik untuk Michael.

“Sebulan lalu saya dapat rasakan Michael mungkin meninggal dunia sebelum konsert London ini.

“Mereka sengaja biarkan Michael kesunyian dan apa yang saya rasakan sudah menjadi kenyataan,” katanya lagi. - Agensi

No comments: